Jumaat, 26 Ogos 2011

MUHASABAH DI AKHIR RAMADHAN


“Ke Arah Transformasi Ramadhan”


Apa yang boleh kita lakukan dihari-hari terakhir ini ialah dengan bermuhasabah diri. Adakah kita telah mengisi sebulan Ramadhan ini dengan sebenar-benar ketaqwaan kepada ALLAH swt. Sudahkah kita melakukan amalan-amalan yang mampu untuk membuatkan kita memperolehi ganjaran yang dijanjikan pada bulan ini? Sudahkah kita menstranformasikan Ramadhan kali ini agar lebih baik daripada Ramadhan yang sebelumnya?

Ramadhan itu bukan hanya sekadar berpuasa daripada lapar dan dahaga, malah apa yang lebih lagi ialah berpuasa juga dari segala kemungkaran kepada ALLAH swt. Saat berpuasa daripada lapar dan dahaga, turut sertakan berpuasa setiap anggota kita daripada melakukan kemaksiatan kepada ALLAH swt serta berpuasalah juga hati kita daripada lintasan-lintasan kemungkaran.  Disamping berpuasa di siang hari, sama-samalah kita untuk bermunajat dan memenuhi malam-malam pada bulan Ramadhan kerana setiap amalan yang dilakukan pada bulan ini akan dilipat gandakan pahala oleh-NYA. Bersediakah kita seandainya ramadhan kali ini ditakdirkan sebagai Ramadhan terakhir buat kita? Mungkin sahaja malaikat sedang menanti saat untuk mencabut nyawa kita. Justeru sahabat sekalian, supaya kita tidak menyesal, marilah kita perbetulkan segalanya. Baki Ramadhan ini sama-sama kita manfaatkan dengan  sebaik mungkin, Insyaallah DIA pasti akan permudahkan segala urusan kita. Teguhkan iman didada, cekalkan hati melawan nafsu dan ikhlaskan jiwa untuk mendambakan keredhaan,pengampunan dan rahmat ALLAH swt.

Mungkin diawal dan pertengahan Ramadhan kita agak kurang untuk beribadah kepada-NYA. Mungkin kita belum lagi menumpukan sepenuh tenaga, jiwa dan raga untuk melakukan ketaqwaan kepada ALLAH, ingatlah masih belum terlambat untuk memperbetulkan segalanya. Selagi mana kita masih lagi mampu untuk bernafas, selagi jasad masih lagi merasai kehangatan mentari, selagi itu lah kita masih diberi peluang untuk menstransformasikan diri ke arah yang lebih baik. Ayuh mulakanlah sekarang usah bertangguh lagi. Masa itu akan terus berputar tanpa menunggu, esok itu belum tentu untuk kita.

Di saat akhir Ramadhan ini, ramai yang akan terleka dan begitu  sukarnya untuk melawan nafsu kerana fikiran kita akan berbelah bagi antara untuk menghabiskan Ramadhan dengan kedatangan Aidilfitri. Teguhkan lah hati kita usahlah biarkan kegembiraan untuk menyambut kedatangan Aidilfitri itu membataskan segala hasrat dan cita-cita kita untuk mempertingkatkan ketaqwaan kepada-NYA. Tiada salahnya untuk merasa gembira dan melakukan persiapan bagi menyambut kedatangan Eid  UL Mubarak. Tetapi janganlah sehingga lupa diri dan hingga melalaikan. Janganlah terlalu seronok membeli belah hingga meninggalkan solat terawih, usahlah leka menghias rumah hingga terlupa untuk membaca Al-Quran dan melakukan amalan-amalan yang lain. Dalam kita berbelanja jangan biarkan kekaburan menyelubungi pandangan kita. Berbelanjalah mengikut keperluan bukannya tanpa haluan. Ingat... Ramadhan bulan berjimat cermat bukanya bulan untuk berbelanja tanpa hemat. Mungkin ada yang berpendapat “Ramadhan dan hari raya tu kan datang sekali je setahun. Apa la salahnya jika berbelanja lebih sikit”. Ya betul Ramadhan dan hari raya datang setahun sekali sahaja, tetapi Ramadhan itu datang sekali setahun juga untuk mendambakan ganjaran besar yang tersimpan padanya. Tahun hadapan belum tentu lagi Ramadhan itu untuk kita.

Ramadhan itu merupakan titik mula untuk menstransformasikan diri kita. Justeru teruskanlah segala amalan dan ketaqwaan kita walaupun Ramadhan telah berakhir. Istiqamahlah dalam melakukan ketaatan kepada ALLAH swt. Teruskan amalan kita pada bulan Ramadhan pada bulan-bulan yang lain. Semoga Ramadhan itu menjadi pembentuk perisai dan benteng untuk melawan godaan dan hasutan nafsu dan syaitan pada bulan-bulan berikutnya, Insyaallah. Saat Ramadhan telah melabuhkan tirainya, kita pasti akan merasa sedih dan berdoa agar dipertemukan dengan Ramadhan yang akan datang. Kita merindukan malam-malam ramadhan yang syahdu dan penuh dengan ketenangan. Berdoalah kepada ALLAH swt semoga segala amalan dan ibadah kita sepanjang bulan Ramadhan ini diterima olehnya. BERMUHASABAHLAH DIRI KITA...


Ya ALLAH,
 Janganlah Engkau persiakan Ramadhan ku ini dengan hanya lapar dan dahaga
Ya Rahman Ya Rahim,
Terimalah segala ibadah ku dan berikanlah ganjaran yang telah kau janjikan.
Ya Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,
Pertemukanlah aku dengan Ramadhan yang akan datang
Seandainya Ramadhan ini Ramadhan terakhir buat ku,
Kau ampunkanlah segala dosa-dosaku, jauhilah aku dari seksaan neraka
Ameen...Ya Rabbal ‘alamin


~FIKIR-FIKIRKAN...MUHASABAH DIRI....~


Tiada ulasan: